JOM MENGINAP DI SHAHJEHAN HOUSESTAY

JOM MENGINAP DI SHAHJEHAN HOUSESTAY

Rabu, 8 Januari 2014

TEMPAT MENARIK DI DAERAH SABAK BERNAM



Shah Jehan Housestay mempelawa anda bersama keluarga, sanak saudara, rakan taulan dan kenalan untuk melancong ke Daerah Sabak Bernam Selangor. Kami warga daerah ini sememangnya amat berbangga atas kehadiran pelawat luar. Untuk penginapan yang selesa, Shah Jehan Housestay memberikan perkhidmatan yang terbaik serta track rekod yang cemerlang sejak 2011 lagi.

.............................

Tempat - tempat yang menarik di Sabak Bernam


Pantai Bagan Nakhoda Omar

Pantai Bagan Nakhoda Omar merupakan kawasan tumpuan di daerah ini sejak sekian lama. Kini, sekitar kawasan pantai telah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk menarik para pengunjung bertandang ke kawasan tersebut.


Mengambil masa kira-kira 30 minit dari Pekan Sabak Bernam, Pantai Bagan Nakhoda Omar begitu mudah dihubungi terutamanya melalui jalanraya yang baik dan pengunjung berpeluang untuk menghirup udara yang nyaman bersama keluarga di samping menjamu selera di gerai-gerai yang menyediakan pelbagai hidangan terutamanya makanan laut.


Jika pengunjung berminat untuk meninjau kelong yang begitu terkenal di sini juga boleh melalui pakej yang disediakan oleh pihak Hay Resort & Services meliputi makan dan minum, penginapan, perjalanan dengan bot ke kawasan kelong dan bersiar-siar di kawasan pantai.





Bagan Nakhoda Omar

“NAKHODA dan Omar atau Nakhoda Omar?” Itu antara persoalan apabila bercerita mengenai sejarah nama Bagan Nakhoda Omar yang terletak dalam daerah Sabak Bernam, Selangor.


Terletak agak terceruk berikutan kawasan berkenaan jauh daripada laluan utama, Bagan Nakhoda Omar adalah sebuah perkampungan nelayan tradisional dan dikatakan dibuka pada 1918.


Ia dipanggil Bagan Nakhoda Omar apabila seorang pedagang dikenali sebagai Omar datang mencari sahabatnya yang bernama Nakhoda.

Pada waktu itu, kapal milik Omar yang melalui kawasan anak sungai berkenaan mengalami kerosakan, menyebabkan dia bersama pengikutnya terkandas di situ.


Menyedari kawasan berkenaan adalah tempat tinggal seorang rakannya yang mahir dalam kerja pertukangan bernama Nakhoda, Omar mengarahkan pengikutnya mencari lelaki berkenaan.

Pada waktu itu, sibuklah pengikut Omar mencari lelaki bernama Nakhoda dan boleh dikatakan setiap kali berjumpa penduduk, mereka bertanya mengenai Nakhoda.

Bagaimanapun, penduduk kampung pula salah anggap berikutan menyangka pemilik kapal berkenaan dikenali sebagai Nakhoda Omar.

Salah anggap penduduk itu hanya terjawab apabila Nakhoda sendiri berjumpa Omar di kawasan sungai setelah mendengar berita kapal berkenaan karam di situ dan belum sempat dibaiki.


Kerana tidak mempunyai pengangkutan lain, Nakhoda meminta Omar bersama pengikutnya tinggal sementara di situ sambil menanti kapal yang lalu di sana untuk ditumpang atau mereka bekerjasama dengan penduduk bagi membina kapal lain.


Namun, setelah beberapa lama tinggal di sana, kawasan berkenaan semakin berkembang dan akhirnya Omar mengambil keputusan menetap di situ.


Sejak itulah kawasan itu dikenali sebagai Bagan Nakhoda Omar, yakni merujuk kepada perjumpaan dua sahabat iaitu Nakhoda dan Omar yang menjadi punca kawasan itu berkembang.


Malah, dikatakan sehingga hari ini, bangkai kapal milik Omar masih ada di dasar sungai berkenaan.

Penghulu Mukim Bagan Nakhoda Omar, Mohamad Fairos Johari berkata, kisah berkenaan adalah versi popular penduduk di sana, namun ada satu lagi versi berbeza bagaimana Bagan Nakhoda Omar mendapat namanya.

Versi kedua berkait dengan kisah seorang lelaki bernama Nakhoda Omar yang datang dari Sumatera bersama pengikut serta barang dagangan.

Namun, sewaktu melalui kawasan berkenaan, kapal mereka karam akibat terlanggar batu karang. Nakhoda Omar mengarahkan pengikut yang terselamat memunggah barangan yang ada ke daratan dan mencari makanan dengan menangkap ikan.


“Di sini, mereka mendirikan kawasan penempatan sementara bagi menanti jika ada kapal dagangan lain yang lalu. Namun, selepas beberapa lama, tidak ada kapal yang lalu dan Nakhoda Omar kemudian mengambil keputusan terus tinggal di sana.

“Bermula detik itulah kawasan ini dikatakan mula diteroka. Bagi menamakan kawasan itu, pengikut Nakhoda Omar menamakannya sebagai Bagan Nakhoda Omar merujuk kepada nama ketua mereka,” katanya.

Mohamad Fairos berkata, sejak detik itu kawasan berkenaan dikenali sebagai perkampungan nelayan dan sehingga kini aktiviti utama penduduk adalah menangkap ikan.

Disebabkan itu juga, di kalangan kaki pancing, Bagan Nakhoda Omar terkenal sebagai kawasan menangkap ikan di Sabak Bernam.

Menurut Mohamad Fairos, keunikan Bagan Nakhoda Omar juga terletak pada budayanya. Oleh kerana kebanyakan penduduk berketurunan Banjar, ada antara mereka masih mengamalkan budaya berkenaan selain kebanyakannya fasih bercakap bahasa Banjar.


FAKTA


Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam, Selangor


Terletak sembilan kilometer dari pekan Sabak Bernam


Dipercayai mula diduduki sekitar abad ke-18 dan mendapat nama secara rasmi pada awal abad-Dikenali sebagai sebuah mukim dalam daerah Sabak Bernam

Ada tujuh kampung di bawah pentadbiran mukim Bagan Nakhoda Omar iaitu Kampung Sekendi, Kampung Tebuk Jawa, Kampung Simpang Empat, Kampung Parit Baru Pekan (Kampung Sungai Lang), Kampung Teluk Rhu, Kampung Sungai Apong dan Kampung Sungai Tengar Selatan

Nama bagan diambil sempena nama pangkalan nelayan, merujuk kepada pekerjaan utama penduduk yang menangkap hasil laut sebagai sumber pencarian

KELONG PARADISE WATERFRONT RESORT

Kelong Paradise Waterfront Resort merupakan sebuah tempat tumpuan bagi pemancing atau lebih dikenali "kaki pancing". Kelong Paradise Waterfront Resort ini terletak kira-kira 15 batu nautika dari Sabak Bernam. Kelong Paradise Waterfront Resort juga merupakan lubuk ikan yang menjadi tumpuan kepada para pemancing.

Kelong Paradise Waterfront Resort ini menjadi tumpuan ikan jenahak, kerapu, bawal, pari, senangin, gelama dan demuduk. Ikan senangin adalah di antara ikan yang paling popular di kalangan pemancing. Di samping itu juga, ia merupakan tempat yang boleh memberi ketenangan kepada pemancing terutamanya pada hujung minggu.

Di sini juga, kita dapat melihat keindahan matahari terbit pada waktu fajar dan terbenam pada waktu senja. Bagi kaki pancing, Kelong Paradise Waterfront Resort menjadi tempat mereka menghabiskan masa. Pengalaman mereka di sini menjadi kenangan yang indah bagi mereka dan mungkin tidak mudah untuk dilupakan.

Sebarang maklumat lanjut boleh didapati di laman web http://www.kelongparadise.com/












MUZIUM DAERAH SABAK BERNAM

Muzium Daerah Sabak Bernam terletak di Jalan Pasar, Pekan Sabak Bernam, bersebelahan dengan bangunan Perpustakaan Daerah dan berhadapan dengan Masjid Jamek Daerah Sabak Bernam dengan keluasan kira-kira 1,135 kaki persegi. Secara umumnya, Muzium Daerah Sabak Bernam ini bertemakan warisan dan maklumat berhubung dengan sejarah pertanian dan perikanan di Daerah Sabak Bernam khasnya dan Negeri Selangor amnya. Ia adalah sebagai salah satu usaha kerajaan dalam menggalakkan kemasukan pelancong di negeri ini dan menjadikannya salah satu pusat sumber rujukan yang unggul kepada generasi masa kini dan akan datang.




Maklumat lanjut di Muzium Daerah Sabak Bernam


PANTAI BATU 23, SG NIBONG


Merupakan sebuah lagi kawasan yang menjadi tumpuan di sini. Perjalanan daripada Pekan Sungai Besar mengambil masa kira-kira 20 minit manakala dari Pekan Sekinchan kira-kira 15 minit sahaja.

Kawasan ini menawarkan suasana nyaman dan tenteram di samping dapat melihat aktiviti nelayan yang pulang daripada menangkap ikan. Malah pengunjung yang berminat untuk mendapatkan sumber makanan laut yang segar boleh berbuat demikian dengan mengunjungi pusat pendaratan sumber laut di kawasan berkenaan.


Di sini juga terdapat beberapa buah chalet dan motel di samping gerai-gerai makanan laut seperti restoran terapung khusus bagi pengunjung yang ingin bermalam di sini.












PEKAN SUNGAI BESAR - Syurga Membeli Belah


Jika anda seorang yang gemar membeli belah untuk barangan pada kadar harga yang murah, di sini anda boleh berbuat demikian.

Bermacam-macam barangan boleh anda dapati di sini terutamanya kaum wanita yang gemarkan koleksi tudung, kain ela dan pelbagai lagi dengan harga yang paling berpatutan malah menandingi kawasan Air Hitam di Johor, Pengkalan Kubur di Kelantan dan Padang Besar di Perlis.


Jika anda telah berkunjung ke kawasan ini anda pastinya sukar melupakan bagaimana murahnya barangan di kawasan tersebut pada musim-musim perayaan, kawasan ini akan penuh sesak dengan pengunjung yang ingin membeli barang keperluan. Arked Man, Pasaraya Ekonomi, Pasaraya Yang Yang merupakan antara deretan gedung yang menawarkan barangan pada kadar harga yang murah.









Masjid Jin


Masjid Jin ini terletak di Kampung Panchang Bedena, Sungai Besar. Ianya kira-kira 8 kilometer dari Pekan Sungai Besar.


Masjid ini begitu digeruni kerana terdapat cerita-cerita penduduk di sekitarnya yang pernah bertemu dengan makhluk ghaib semasa berada disitu yang dipercayai Jin. Walau bagaimanapun, makhluk ghaib itu bukanlah mengganggu pengunjung masjid ini. Yang paling penting adalah niat kita untuk beribadah kepada Allah di masjid ini.

Masjid ini juga menampilkan keunikannya dari segi senibinanya. Pembuatannya daripada kayu menyerlahkan keistimewaannya.

Kini, masjid ini diletakkan oleh Kerajaan Negeri Selangor dibawah pemantauan pihak Muzium Negeri yang mana keunikannya akan sentiasa terpelihara. Senibina masjid ini begitu unik memaparkan ciri-ciri tradisional.











Ladang Mangga, Sungai Limau

Ladang Mangga ini terletak di Kampung Sungai Limau, Sungai Besar. Ia terletak kira-kira 6 kilometer dari Pekan Sungai Besar atau 40 kilometer dari Pekan Sekinchan.

Ladang ini diusahakan oleh penduduk tempatan. Pokok pelam yang ditanam di sini telah berjaya mengeluarkan buah yang begitu manis dan sedap dimakan.


Jika anda dalam perjalanan dari Kuala Selangor ke Hilir Perak atau sebaliknya yang mana anda melalui Sungai Besar, maka anda tidak mungkin akan terlepas dengan gerai buah-buahan di pinggir-pinggir jalan yang menjual pelbagai buah-buahan terutamanya pelam.

Walaupun pokok pelam ini rendah sahaja tetapi buah yang dihasilkan amat memberangsangkan dan sedap dimakan.

Pada musimnya, pemilik ladang kerap menawarkan kepada para pengunjung untuk berkunjung ke ladangnya untuk menikmati sendiri buah pelam yang dipetik sendiri dari pokoknya. Bayaran yang dikenakan adalah amat murah.

Jadi ayuhlah lekas berkunjung ke Ladang Mangga, Sungai Limau, Sungai Besar.












Pasar Sungai Haji Dorani

Pasar Sungai Haji Dorani merupakan pasar yang rata - ratanya menjual hasil dari tangkapan nelayan persisiran pantai, di sini pengunjung boleh mendapatkan ikan - ikan segar, mentarang dan juga pelbagai jenis ikan masin yang telah diproses.







Lubuk Pusing

Pada waktu silam, inilah tempat pusaran air yang deras dan berpusing Lubuk Pusing ini terletak di Kampung Lubuk Pusing, Sabak Bernam. Ia terletak kira-kira 20 kilometer dari Pekan Sabak.

Lubuk Pusing ini dahulunya adalah sungai yang merbahaya disebabkan oleh pusaran airnya yang berpusing-pusing dengan deras. Berpandukan maklumat dari orang-orang terdahulu yang menjadi penduduk kampong berhampiran, ketika dahulu terdapat juga kapal dan sampan yang tenggelam disebabkan kerana disedut oleh pusaran air di sini.


Kini pusaran air tersebut sudah tiada lagi disebabkan bentuk muka bumi yang berubah. Air sungai tersebut juga sudah kering dan kini menjadi daratan. Yang tinggal kini hanyalah tempat yang berbentuk kolam-kolam air.

Walaupun begitu, kawasan ini adalah amat berbahaya bagi para pengunjung yang ingin menyaksikannya.

Asal-usul nama Kampung Lubuk Pusing merupakan lagenda bercampur mitos dan disebar sebagai sastera lisan setempat. Penduduknya, waktu ini menjadi pekebun kelapa sawit.


Menurut beberapa anak kelahiran Kampung Lubuk Pusing yang berusia 50an tahun, nama Lubuk Pusing berkaitan dengan pusaran air Sungai Bernam yang yang menjadi sempadan negeri Perak dan Selangor. Kampung Lubuk Pusing terletak di tebing Sungai Bernam. Menurut mereka, sebelum tahun 1950-an kawasan yang hari ini menjadi Kampung Lubuk Pusing merupakan sebagian aluran Sungai Bernam. Dasar sungainya dalam dan menjadi laluan kapal membawa barangan pertanian seperti kelapa dan minyak Hulu Bernam ke Kuala Bernam.

Di sungai itu terdapat pusaran air yang dikenali ‘lubuk pusing’. Pernah suatu ketika dahulu terdapat sampan pemancing yang melanggar pusaran air berkenaan dan ‘tertelan’ dalam pusaran air sungai itu. Mayatnya ditemui kira-kira 25 kilometer dari tempat kejadian iaitu di muara sungai.


Pada tahun 1960-an, perubahan pada aliran sungai berlaku dan dasar sungai yang terdapat pusaran air semakin cetek. Dengan mendapan demi mendapan berlaku, akhirnya kawasan pusaran air atau lubuk pusing itu menjadi daratan tetapi mudah dinaiki air apabila hujan.


Kini terdapat tiga kolam yang dianggap Lubuk Pusing yang asalnya merupakan pusaran air sungai zaman dahulu. Air di kolam-kolam ini seakan-akan menggelegak tanpa henti dan jauh ke dasarnya masih tidak dapat diketahui berapa puluh meter. Belum ada pihak yang membuat kajian ilmiah mengenainya.









sumber : http://www.selangor.gov.my/sabakbernam/main.php

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...